" Dianggarkan Kampuchea kehilangan lebih satu pertiga penduduk sepanjang tempoh 3 tahun 8 bulan 20 hari pemerintah Pol Pot "
Dalam kegilaan untuk mentranformasikan sistem ekonomi Kampuchea kepada sistem komunis ala Mao dan Marxis-Leninist bagi membentuk masyarakat yang kononnya ideal – tiada yang kaya dan tiada yang miskin - regim itu bertindak drastik dengan memindahkan lebih dua juta penduduk Phnom Penh dan bandar- bandar lain ke kawasan luar bandar untuk mengusahakan tanah-tanah pertanian secara kolektif.
Askar-askar Khmer Rouge pergi dari rumah ke rumah, memaksa setiap keluarga berpindah segera kononnya untuk mengelak daripada serangan bom tentera Amerika Syarikat dan mereka dijanjikan akan dibenarkan pulang dalam masa tiga hari.
Arahan perpindahan itu menyaksikan beratus ribu orang, lelaki dan perempuan, kanak-kanak, orang dewasa dan orang-orang tua membanjiri jalan raya setiap hari menuju ke kawasan-kawasan yang telah ditetapkan. Semuanya berjalan kaki keana tiada sebarang kenderaan dibenarkan.
Setiap perjalanan memakan masa seminggu atau lebih. Ramai yang mati akibat kelaparan
dan keletihan. Lazimnya yang tidak berupaya dan dianggap mengganggu perjalanan akan ditinggalkan, lalu dibiarkan mati bersendirian.
Dalam transformasi radikal yang diperkenalkan itu, Khmer Rouge menutup semua bank,
kedai atau juga bentuk perniagaan sebagai langkah menghapuskan penggunaan wang, pasaran terbuka dan pemilikan harta peribadi.
Pakaian ala barat diharamkan sama sekali, begitu juga dengan pakaian atau apa juga budaya tradisi Kampuchea. Semua orang, termasuk pemimpin CPK, mesti memakai pakaian berwarna hitam yang merupakan seragam rasmi revolusi.
Sekolah-sekolah juga ditutup. Agama diharamkan. Pagoda, masjid, gereja, bangunan sekolah dan universiti, malah bangunan- bangunan kerajaan kebanyakannya diubahsuai untuk dijadikan penjara atau pusat tahanan.
Tidak ada hiburan dan tidak ada kenderaan awam. Sebarang bentuk riadah juga dikawal ketat. Semua orang tidak dibenarkan keluar dari kawasan yang telah ditetapkan untuknya. Perbincangan dilarang sama sekali. Jika anda berkumpul tiga orang, dan berbual, anda boleh dituduh sebagai musuh regim. Akibatnya anda akan ditahan dan mungkin dihukum bunuh.
Hubungan kekeluargaan tidak dialu-alukan. Di kem-kem revolusi di mana rakyat dipaksa bekerja di sawah dan ladang selama 12 jam
sehari, setiap ahli keluarga dipisah- pisahkan. Hanya bayi dan anak kecil dibenarkan mengikut ibu, tetapi jika
si bayi itu dilihat boleh mengganggu kelancaran kerja si ibu, besar kemungkinan dia akan dibunuh.
Khmer Rouge juga menjalankan dasar memusuhi cerdik pandai. Bagi mereka orang berilmu adalah berbahaya. Akibatnya banyak golongan terpelajar yang dibunuh.
Dasar-dasar gila regim Pol Pot itu memakan banyak korban. Daripada lebih dua juta yang terkorban,
hampir separuh daripadanya akibat dibunuh oleh tentera Khmer Rouge, manakala selebihnya mati akibat kebuluran, kekurangan zat makanan atau penderaan.
Segala kezaliman itu hanya
terhenti selepas tentera Vietnam menyerang Kampuchea pada bulan Disember 1978. Regim Pol Pot tumbang pada 7 Januari 1979. Pol Pot melarikan diri ke sempadan Thai dan membentuk zon pemerintahan kecil Khmer Rouge di situ.
Pada tahun 1997 kuasanya sebagai pemimpin utama Khmer Rouge dirampas oleh orang kanannya Ta Mok. Pol Pot dikenakan tahanan dalam rumah.
Serangan bertubi-tubi ke kubu Khmer Rouge oleh pihak berkuasa Kampuchea menyebabkan Ta Mok dan gerombolannya lari ke hutan. Pol Pot dibawa bersama sebagai
orang tahanan. Namun pada 15 April tahun yang sama, Pol Pot meninggal dunia. Ada sumber mendakwa dia diserang sakit jantung tetapi ada
juga yang percaya dia diracun. Malah ada yang berpendapat dia mungkin membunuh diri.
Menurut satu laporan menjelang saat-saat kematiannya, Pol Pot dikatakan bersetuju untuk menyerah diri kepada tribuna antarabangsa. Tetapi perkara itu tidak menjadi kenyataan. Dia mati sebelum
sempat dibicarakan atas jenayah- jenayah kemanusiaan yang dilakukannya.
0 KOMEN:
Post a Comment