Tuesday, 15 November 2011

FGVH MAMPU RAIH DANA HINGGA RM6 BILION


Sekali gus menjadikannya sebagai entiti penyenaraian baru terbesar dalam sejarah korporat Malaysia.

FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) sudah melantik beberapa bank pelaburan bagi menguruskan tawaran awam permulaan (IPO)
sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, tahun depan.
Reuters dalam satu laporannya memetik sumber yang berkata, IPO itu dijangka mampu meraih antara RM5 bilion hingga RM6 bilion, sekali gus menjadikannya sebagai entiti penyenaraian baru terbesar dalam sejarah korporat Malaysia.
Sebelum ini, antara IPO terbesar adalah Petronas Chemicals Group Bhd yang berjumlah RM4.1 bilion pada tahun lalu dan Maxis Bhd berjumlah RM3.3 bilion pada dua tahun sebelumnya.
Menurut sumber itu lagi, bank pelaburan yang dilantik itu adalah CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley yang akan

menjadi penyelaras global bersama, manakala JPMorgan dan Deutsche Bank pula akan bertindak sebagai pengurus tempahan bersama.
Deutsche dan Morgan Stanley enggan mengulas manakala Maybank IB dan CIMB tidak dapat memberikan komen serta-merta sementara JP Morgan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Presiden FELDA Global, Datuk Sabri Ahmad, baru-baru ini berkata, hasil daripada IPO itu akan digunakan FGVH sebagai modal bagi mengembangkan perniagaan terasnya.
Meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu, syarikat Malaysia tetap meneruskan IPO mereka.
Di samping IPO FGVH tahun depan, dua lagi syarikat lain iaitu Gas Malaysia Bhd dan Pavilion REIT turut mempersiapkan diri bagi melaksanakan IPO yang masing-masing dijangka mampu meraih RM238.2 juta dan RM222.4 juta.
FGVH, cabang perniagaan FELDA adalah syarikat yang terbabit dalam perniagaan pertanian dengan memberikan penumpuan dalam perladangan sawit, getah selain menanam dan memproses tebu sebagai gula.
Bagi menjadikan aset miliknya sebagai penjana kepada keuntungan, FELDA turut menyenaraikan unit gulanya, iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd pada Jun lalu.
Menurut Sabri, tujuan penyenaraian itu adalah bagi mewujudkan cabang perniagaannya sebagai sebuah syarikat multinasional,menyerupai firma besar seperti Archer-Daniels-Midland Co dan Cargill Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

1 KOMEN:

  • 1 SUARA says:
    15 November 2011 at 20:14

    sekali

Post a Comment

VIDEO PILIHAN