Tuesday, 15 November 2011

HAMKA: PERMATA YANG TIADA GANTINYA


HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah  adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di Nusantara. Beliau juga adalah ilmuan dalam pelbagai bidang; falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik.
Pengaruhnya amat besar, tidak hanya di Indonesia tetapi juga di Malaysia dan wilayah-wilayah Islam lain di rantau sebelah sini.
Hamka lahir pada pada1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia dan mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga Darjah Dua. Ketika usianya mencapai 10 tahun, ayahnya mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di
situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama-ulama terkenal pada era itu.
Bapa Hamka sendiri sebenarnya seorang ilmuan besar di Sumatera dan beliau merupakan pelopor gerakan tajdid di Minangkabau sekembalinya dari Mekah pada tahun 1906.
Memulakan kerjaya sebagai guru agama pada usia 19 tahun di Perkebunan Tebing Tinggi,
Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudiannya dilantik sebagai pensyarah di Universiti Islam, Jakarta dan Universiti Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu,
beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universiti Mustopo, Jakarta.
Dari tahun 1951 hingga tahun
1960, Hamka diberi kepercayaan
menjadi Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi melepaskan jawatan itu setelah Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).
Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro- Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al- Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya.
Hamka sangat aktif dalam gerakan Islam khususnya melalui pertubuhan Muhammadiyah. Beliau mengikut
pendirian Muhammadiyah mulai tahun
1925 untuk melawan khurafat, bid’ah, tarekat, dan kebatinan sesat di Padang Panjang.
Kegiatan
politik Hamka juga bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota parti Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia. Penentangannya tidak hanya
melalui pidato, malah juga menyertai kegiatan gerila di dalam hutan di Medan.  Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia.
Tidak cukup dengan aktiviti keagamaan dan politiknya, Hamka juga bergiat cergas dalam dunia
kewartawanan, penulisan dan penerbitan.
Sejak tahun 1920-an, semasa berkhidmat sebagai guru Hamka turut menjadi wartawan di beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan
Seruan Muhammadiyah. Pada tahun
1928, beliau menjadi editor majalah
Kemajuan Masyarakat. Pada tahun
1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makassar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat, dan Gema Islam.
Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah
terbesarnya ialah Tafsir
al-Azhar dan antara novel- novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera
di Malaysia
dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Ka’bah dan Merantau ke Deli.
Kehebatan Hamka terbukti dengan penguasaannya dalam pelbagai cabang ilmu. Beliau adalah ahli dalam bidang falsafah, sastera, sejarah, sosiologi, politik dan tentu juga dalam ilmu-ilmu keagamaan. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah. Melalui Bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman.
Satu kelebihan lain yang dimiliki oleh tokoh ini ialah berpidato.
Pada tahun 1977, Hamka dilantik sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah.
Hamka meninggal dunia pada 17
Julai, 1981.
Sepanjang hayatnya Hamka pernah menerima berbagai-bagai anugerah baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa. Antaranya Ijazah Doktor Kehormat, Universiti Kebangsaan Malaysia (1974), Doctor Honoris Causa, Universitas al-
Azhar, 1958 dan juga gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.
Sehingga kini walaupun telah tiga dekad almarhum meninggal dunia, seluruh nusantara masih terasa kehilangannya. Ruang yang ditinggalkannya masih kekal
lompong kerana setakat sekarang belum ada seorang ilmuan, seniman dan politikus yang sehebatnya.

0 KOMEN:

Post a Comment

VIDEO PILIHAN